AFRIKA SELATAN, 4 Disember-Hajat skuad lelaki senior negara untuk beraksi di penats final Piala Negara-Negara FIH buat kali pertama, musnah di tangan Ireland selepas tunduk 3-0 di peringkat separuh akhir di Afrika Selatan, semalam.
Selepas terikat tanpa jaringan pada suku pertama dan kedua, gawang skuad negara akhirnya bolos pada suku ketiga menerusi jaringan padang Benjamin Walker pada minit ke-40.
(Aksi skuad negara ketika menentang Ireland pada Kejohanan Piala Negara-Negara)
Skuad negara kemudian terus ketinggalan selepas Jeremy Duncan meledak gol kedua Ireland menerusi jaringan padang selang dua minit kemudian.
Duncan sekali lagi menjadi duri dalam daging buat Malaysia apabila menambah gol ketiga Ireland pada minit ke-51, juga menerusi jaringan padang.
Kedudukan itu kekal sehingga tamat permainan, sekali gus meranapkan impian 'Speedy Tigers' beraksi di pentas final dalam kejohanan yang kali pertama diperkenalkan oleh FIH itu.
Jurulatih negara, Arul Selvaraj yang ditemui selepas perlawanan nyata kecewa dengan persembahan anak-anak buahnya.
“Memang kecewa kita kalah dengan keputusan 0-3, walaupun kita lebih banyak menguasai perlawanan, dan mendapatkan banyak peluang daripada pukulan sudut penalti, tetapi kita gagal menjaringkan gol.
Bagaimanapun, cabaran skuad kendalian A. Arul Selvaraj itu masih belum berakhir apabila dijadual beraksi pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, lewat petang ini.
Manakala Ireland pula akan membuat perhitungan final dengan tuan rumah, Afrika Selatan.