fb fb fb fb fb

KBS perkenal garis panduan lindungi atlet muda dalam sukan tempur

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh/RTM

PUTRAJAYA, 7 November - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menetapkan langkah baharu bagi memperkukuh kawal selia serta melindungi atlet kanak-kanak dalam penganjuran sukan tempur seperti tinju, Muay Thai, kickboxing dan mixed martial arts (MMA).

Menterinya, Hannah Yeoh, berkata berkuat kuasa serta-merta, mana-mana penganjur sukan tempur dilarang melibatkan atlet bawah umur 15 tahun dalam aksi sentuhan penuh (full contact) tanpa penggunaan pelindung keselamatan penuh.

Menurut beliau, penyertaan atlet berusia bawah 15 tahun hanya dibenarkan dalam kejohanan rasmi anjuran Persatuan Sukan Kebangsaan atau Persatuan Sukan Negeri yang berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997.

“KBS komited memperkukuhkan tadbir urus dan aspek keselamatan dalam sukan tempur.

"Kita tidak akan berkompromi dengan keselamatan, integriti mahupun perlindungan atlet dan kanak-kanak,” tegasnya pada sidang media Pengumuman Langkah Pengukuhan Kawal Selia dan Perlindungan Atlet Dalam Sukan Tempur, hari ini.

Hadir sama Pesuruhjaya Sukan, Ariffin Ghani, Presiden Muay Thai Kebangsaan, Datuk Shanaz Jullahaideh, Timbalan Ketua Setiausaha KBS, Abdullah Hasan, serta Pegawai Undang-Undang KBS, Nurmi Aini.

Hannah menjelaskan, keputusan itu diambil susulan peningkatan penganjuran pertandingan sukan tempur yang melibatkan pempengaruh dan selebriti, termasuk membabitkan peserta bawah umur tanpa kelulusan sah.

“Walaupun acara seperti ini mendapat sambutan dan memberi impak ekonomi, ia tetap perlu mematuhi undang-undang.

"Sukan tempur bukan hiburan semata-mata, ia dikawal selia di bawah akta dan mesti mendapat sanction daripada badan pengawal,” jelasnya.

KBS turut mengarahkan Pesuruhjaya Sukan (PSJ) menilai semula mekanisme kawal selia terhadap penganjuran acara sukan tempur di seluruh negara, termasuk memperketat garis panduan keselamatan serta pemantauan ke atas atlet muda.

Selain itu, PJS akan melakukan pengumpulan data menyeluruh merentas disiplin sukan tempur bagi merekodkan jumlah kejohanan, kadar kecederaan dan insiden kesihatan sebagai asas pembentukan dasar baharu keselamatan atlet.

Sementara itu, Presiden (PMM), Datuk Muhammad Shahnaz Azmi memaklumkan pihaknya kini tidak membenarkan atlet kanak-kanak dalam acara profesional.

Beliau berkata perbezaan utama antara kategori profesional dan amatur adalah pada tahap kecederaan fizikal serta sistem pemarkahan.

“Amatur berdasarkan mata dan kemahiran dengan mereka akan memakai pelindung keselamatan, manakala kalau profesional, atlet itu boleh lawan sampai KO… tapi kalau amatur, tengok macam atlet tidak boleh melindungi diri, anda perlu dihentikan,” katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD