fb fb fb fb fb

Ikon bola sepak Pele akui masih 'kuat' dengan doa semua

(Menara Obor Doha yang juga dikenali sebagai Menara Aspire pada Kejohanan Pila Dunia
Qatar memaparkan bintang Brazil, Pele tanda sokongan dan doa buat ikon
bola sepak itu yang sedang dirawat di hospital di Sao Paulo/AFP)

SAO PAULO, 4 Disember- "Saya kuat dengan harapan besar anda semua yang berdoa untuk kesembuhan saya," demikian kenyataan legenda bola sepak  Brazil, Pele,82, yang kini dirawat di sebuah hospital di sini akibat masalah kesihatan.

Terdahulu, jurucakap Hospital Israelita Albert Einstein itu mengesahkan Pele berada dalam keadaan stabil setelah media tempatan melaporkan beliau dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) berikutan tubuhnya tidak bertindak balas terhadap rawatan kemoterapi.

Pele, yang dianggap sebagai pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman, dimasukkan ke hospital awal minggu ini di tengah-tengah rawatan kanser kolon yang berterusan.

"Saya mahu memastikan seluruh rakan dan penyokong saya bertenang serta kekal positif. Saya sedang menjalani rawatan seperti biasa.

"Jutaan terima kasih kepada seluruh pasukan perubatan atas penjagaan rapi yang mereka berikan. Saya percaya dengan kuasa Tuhan kerana saya terima banyak ucapan yang mendoakan saya dari seluruh dunia yang membuat saya menjadi lebih kuat.

"Saya juga menonton pasukan kebangsaan Brazil beraksi pada Piala Dunia! Terima kasih atas segala-galanya," kata ikon bola sepak itu menerusi Instagram pada Sabtu yang turut menerima lebih 550,500 tanda suka.

Doktor yang merawat Pele berkata awal Sabtu bahawa legenda Brazil itu kekal stabil dengan keadaan kesihatannya tidak merosot sejak hari terakhir.


(Mural yang wajah Legenda Bola Sepak Brazil Pele oleh pelukis Aleksandro Reis di Sao Paulo, Brazil/AFP)

Pele mempunyai tindak balas yang baik terhadap penjagaan serta rawatan tanpa sebarang kemerosotan dalam gambaran klinikal bagi tempoh 24 jam yang lalu," kata doktor di Hospital Albert Einstein di Sao Paulo dalam satu kenyataan.

Pele dimasukkan ke hospital awal minggu ini kerana apa yang dikatakan doktor sebagai penilaian semula' terhadap rawatan kemoterapi yang dijalaninya sejak melalui pembedahan membuang tumor kolon pada September tahun lalu.

Kebanyakan pemain yang beraksi pada pentas Piala Dunia Qatar tidak ketinggalan meninggalkan komen pada hantaran twitter Pele itu.

Penyerang Perancis Kylian Mbappe menulis tweet: "Berdoa untuk Raja."

Sementara itu Kapten England, Harry Kane turut menzahirkan doa kepada Pele pada sidang media menjelang perlawanan peringkat 16 terakhir pasukannya menentang Senegal.

“Kami menyampaikan ucapan selamat kepada beliau dan jelas sekali kepada semua keluarganya juga".

"Pele adalah inspirasi dalam permainan kami dan jelas sekali adalah pemain bola sepak yang luar biasa dan ikon sukan ini yang mempunyai bakat luar biasa. Kami mengucapkan selamat agar segera sembuh kepadanya." katanya.

Pele adalah satu-satunya pemain bola sepak dalam sejarah yang memenangi tiga Piala Dunia pada 1958, 1962 dan 1970 selain merupakan salah seorang tokoh sukan paling berjaya dan popular pada abad ke-20.

Digelar "O Rei" (Raja), beliau menjaringkan lebih daripada 1,200 gol dalam salah satu kerjaya sukan bola sepak, sebelum bersara pada 1977.

Pele mempunyai bakat yang mempesonakan sejak kecil dan memenangi Piala Dunia 1958 ketika berusia 17 tahun, menjaringkan hatrik pada separuh akhir dan dua lagi gol di perlawanan akhir yang melonjakkan kerjayanya serta mencipta dinasti bola sepak pasukan kebangsaan Brazil .

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Pele berdepan masalah kesihatan yang semakin merosot namun dilihat kekal tenang dengan penampilan ceria dan gemar berjenaka terutama dalam  hantaran status di media sosial. -AFP

Media Baharu