ISTANBUL, 7 November - Lapan belas individu ditahan di Turkiye dalam siasatan terhadap pengadil yang disyaki terlibat dalam pertaruhan perlawanan bola sepak, menurut Pejabat Pendakwa Raya Istanbul pada Jumaat.
Sebanyak 21 waran tangkap telah dikeluarkan terhadap individu terbabit, termasuk 17 pengadil dan presiden sebuah kelab divisyen pertama.
Siasatan berkenaan memberi tumpuan kepada dakwaan mengatur perlawanan dan penyalahgunaan kuasa.
Majlis Disiplin Persekutuan Bola Sepak Turkiye (TFF) sebelum ini telah menggantung 149 pengadil minggu lalu selepas mereka didapati melanggar larangan dengan bertaruh pada perlawanan.
Tempoh penggantungan itu antara lapan hingga 12 bulan, namun pihak persekutuan tidak menjelaskan sama ada terdapat dalam kalangan mereka yang disyaki bertaruh pada perlawanan yang dikendalikan oleh mereka sendiri.
Siasatan terdahulu bulan lalu mendapati 152 daripada 571 pengadil profesional termasuk 22 pengadil yang bertugas dalam liga divisyen pertama Turkiye didapati “aktif bertaruh” pada perlawanan.
Sementara itu, dalam satu kenyataan bersama pada Rabu, para pengadil menolak “tuduhan melampau” itu dan menegaskan bahawa tiada seorang pun daripada mereka pernah bertaruh pada perlawanan yang mereka kendalikan.
Sebahagian daripada mereka turut mendakwa aktiviti pertaruhan mereka berlaku ketika masih menjadi pengadil amatur. - REUTERS