KUALA LUMPUR, 7 November - 27 pemain dipanggil menyertai kem latihan Harimau Malaya sebagai persiapan menentang Nepal bagi aksi kelima Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2026 pada 18 November ini termasuk bek kanan Johor Darul Ta'zim (JDT) Matthew Davies.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengekalkan seramai 24 pemain dari skuad menentang Laos bagi aksi Kelayakan Piala Asia 2027 pada 9 dan 14 Oktober lalu dan membawa masuk seorang lagi pemain dari skuad B-23 tahun iaitu Aliff Izwan Yuslan selain daripada Muhammad Ubaidullah Shamsul.
"Cklamovski juga memanggil kembali Matthew Davies yang telah pulih daripada kecederaan serta membawa masuk seorang muka baharu iaitu Ryan Lambert," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, seramai 11 pemain iaitu Nathaniel Shio Hong Wan, Adam Nor Azlin, Mohammad Syamer Kutty Abba, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Muhammad Safwan Mazlan, Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni, Mohd Suhaimi Husin, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Muhammad Adib Abdul Ra’op, Wan Ahmad Kuzain Wan Ahmad Kamal dan Lukman Hakim Shamsuddin diletakkan dalam senarai bersedia, jika terdapat perubahan.
Skuad Harimau Malaya akan menjalani latihan pusat pada 10 hingga 17 November sebagai persediaan menghadapi Nepal bagi aksi timbal balik Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027 pada Selasa, 18 November di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.