NAGOYA, 7 November - Pelumba Perancis, Sebastien Ogier, mendahului Rali Jepun selepas pusingan pembukaan pada Jumaat, mengekori rapat rakan sepasukan Elfyn Evans, sementara pencabar kejuaraan dunia, Kalle Rovanpera, berdepan kehilangan masa besar akibat kerosakan suspensi pada jentera Toyota miliknya.
Rovanpera, menamatkan saingan pada Khamis sebagai pendahulu, tergelincir ke tempat keempat bersama selepas peringkat pembukaan hari ini, sebelum kedudukannya terus merosot apabila terbabas dan melanggar penghadang Armco di SS3.
Insiden itu merosakkan suspensi belakang kiri jentera Toyota GR Yaris Rally1 miliknya, menyebabkan beliau kehilangan lebih dua minit.
Walaupun Rovanpera dan pemandu arah Jonne Halttunen berjaya melakukan pembaikan pantas di antara laluan, mereka terus kehilangan dua minit tambahan di peringkat Isegami’s Tunnel, menjadikan keseluruhan defisit mereka melebihi lima minit menjelang tengah hari.
Sementara itu, Ogier dan Evans memanfaatkan nasib malang rakan sepasukan mereka itu. Selepas empat peringkat, Ogier memimpin dengan kelebihan tipis 1.0 saat di depan Evans.
Bagaimanapun, Evans menamatkan peringkat terakhir pagi itu dengan kemenangan, mengekalkan tekanan terhadap pendahulunya.
Pelumba tuan rumah, Takamoto Katsuta, turut dalam perebutan kedudukan podium apabila hanya ketinggalan 1.7 saat di belakang Ogier. Katsuta sempat mendahului selepas SS3, namun kedudukan itu kembali dirampas Ogier.
Sami Pajari, seorang lagi pelumba Toyota, kini berada di tempat keempat keseluruhan, 9.5 saat di belakang pendahulu.
Bagi pasukan Hyundai, kedua-dua pelumba mereka, Ott Tanak dan Thierry Neuville, bergelut mencari rentak dalam jentera i20 masing-masing. Tanak menamatkan sesi pagi di tempat keenam, 45.8 saat di belakang Ogier.
Pelumba M-Sport Ford, Adrien Fourmaux, menunjukkan peningkatan ketara selepas melakukan pelarasan pada tetapan jentera usai SS2, menamatkan sesi pagi di kedudukan kelima keseluruhan.- REUTERS