PUTRAJAYA, 7 November - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan bahawa tiada ruang untuk budaya samseng atau pergaduhan dalam mana-mana acara sukan di negara ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata insiden kekecohan yang berlaku selepas perlawanan Selangor FC menentang Persib Bandung pada Rabu menjadi peringatan bahawa semua pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan suasana sukan di negara ini kekal sihat, selamat dan berdisiplin.
“Kita ada Kod Sukan Selamat. Kod ini bukan hanya untuk atlet, tetapi juga pengendali sukan, dan pemilik fasiliti stadium. Semua perlu bertanggungjawab memastikan keselamatan serta suasana harmoni di setiap acara sukan,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Menurut Hannah, tindakan tidak bertanggungjawab seperti itu mencalarkan imej sukan negara dan menjejaskan matlamat asal bola sepak sebagai platform perpaduan rakyat.
“Kita tahu bola sepak ialah sukan rekreasi keluarga. Ia sepatutnya menjadi tempat yang sesuai untuk kanak-kanak hadir bersama ibu bapa.
"Jadi saya mohon kerjasama daripada semua pihak sama ada penganjur sukan atau peminat bola sepak untuk memastikan suasana kekal sihat dan selamat untuk kanak-kanak serta keluarga,” ujar Hannah.
Beliau turut menegaskan bahawa budaya pergaduhan dan samseng bukan sebahagian daripada nilai masyarakat Malaysia dan tidak boleh dibiarkan menular dalam mana-mana acara sukan.
“Budaya samseng atau budaya bergaduh bukan budaya Malaysia. Saya menyeru bukan hanya dalam bola sepak, tetapi dalam semua acara, kita hentikan perkara ini. Generasi muda sedang memerhati cara kita membawa diri,” katanya lagi.
Tambah Hannah, KBS melalui Kod Sukan Selamat akan terus memperkukuh usaha advokasi serta penguatkuasaan bagi memastikan setiap penganjuran sukan di Malaysia menekankan nilai hormat, disiplin dan keselamatan untuk semua golongan masyarakat.
Aksi Liga Juara Asia 2 (ACL2) yang dilangsungkan pada Rabu menyaksikan Selangor tewas 2-3 kepada Persib Bandung di laman sendiri.
Keputusan itu mencetuskan kemarahan penyokong Selangor yang bertindak menceroboh padang dan menimbulkan kekecohan di luar stadium.