fb fb fb fb fb

Hoki Piala Mirnawan: Tiga pasukan negara alami kekalahan

Aksi perlawanan hari kedua Mirnawan Cup 2023/FOTO National Hockey Development Program

KUALA LUMPUR, 21 November - Malaysia mengalami satu lagi hari yang suram apabila kesemua pasukan yang turun beraksi pada Selasa mengalami kekalahan pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Mirnawan.

Dalam kategori lelaki, skuad Speedy Tigers A yang dibarisi pemain bawah 17 tahun tumpas 2-3 kepada pasukan Odisha dari India pada sebelah pagi di Stadium Hoki KPM, Lembah Pantai.

Rohit Kullu muncul wira pasukannya apabila meledak hatrik.

Pasukan negara pula berjaya menyumbat 2 jaringan melalui Ahmad Fareedz Iqram M.Ramzuzzaman pada minit ke-29 dan 45 menerusi pukulan sudut penalti.

Pada perlawanan berikutnya, Speedy Tigers B mengalami kekalahan teruk 1-11 ditangan pasukan Afrika Selatan.

Pasukan bimbingan Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin nyata bukan tandingan Afrika Selatan yang berjaya mempamerkan permainan agresif.

Gol tunggal Malaysia dijaringkan Mohd Fareez Abd Razak menerusi pukulan sudut penalti pada suku terakhir.

Bagi saingan wanita Speedy Tigress B juga menerima nasib sama apabila kecundang 1-9 kepada Jepun.

Jaringan tunggal negara berjaya dijaringkan oleh Balqis Nur Batrisyia Abdul Rahman melalui pukulan padang di minit ke-45.

GRACE AISYAH KEDAYAN