CHINA, 7 September- Skuad hoki wanita negara meraih kemenangan pertama dalam kempen Kumpulan A Piala Asia 2025 selepas membelasah Taiwan 11-1 di Stadium Gongshu Canal Sports Park.
Malaysia tidak menunggu lama apabila Nur Afiqah Syahzani Azhar membuka tirai jaringan seawal minit kedua, sebelum Nuramirah Shakirah Zulkifli menggandakan kedudukan seminit kemudian.
Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin, Hanis Nadiah Onn dan Nuramirah sekali lagi menambah jaringan sehingga suku pertama tamat dengan kedudukan selesa 4-0.
Gol terus berpihak kepada skuad negara pada minit ke-21 melalui pukulan sudut penalti Fatin Shafika Mahd Sukri, sebelum Afiqah dan Khairunnisa masing-masing meledak gol kedua peribadi.
Siti Nur Arfah Mohd Nor turut menyerlah dengan dua jaringan pada minit ke-36 dan 56.
Taiwan hanya mampu meraih gol saguhati menerusi penalti strok Huang Yu-Ting pada minit ke-59, sebelum Afiqah melengkapkan hatrik peribadi seminit kemudian.
Sementara itu ketua jurulatih, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim menyifatkan kejayaan berkenaan sebagai tonik terbaik buat pemainnya bagi menampilkan corak permainan terbaik pada perlawanan esok.
"Kita akan bawa segala semangat persiapan yang kita bina sebelum itu untuk perlawanan akhir bertemu mereka, jadi saya pasti dengan kemenangan besar hari ini pemain akan lebih bersemangat untuk perlawanan yang seterusnya," katanya.
Beliau menyatakan perkara berkenaan dalam satu hantaran video selepas perlawanan berdepan Taiwan yang berlangsung di China.
Malaysia dijadual menentang Korea Selatan dalam aksi terakhir kumpulan, esok.