KUALA LUMPUR, 20 OGOS - Menjelang Piala Asia 2025 yang akan berlangsung di Bihar, India dari 29 Ogos hingga 7 September ini, fokus utama skuad hoki lelaki kebangsaan, Speedy Tigers untuk mencapai tahap cemerlang kecergasan fizikal dan disiplin taktikal.
Ketua jurulatihnya, Sarjit Singh berkata, skuad negara telah menjalani program intensif bersama Institut Sukan Negara (ISN), dengan tahap kecergasan ketika ini dianggarkan mencapai 80 peratus.
"Dari segi kecergasan, kami telah mengikuti program daripada ISN. Latihan 'chamber run' berjalan dengan baik selama lebih kurang 6 hingga 10 minggu.
''Jadi, kami telah membuat persiapan rapi, terutamanya kerana kami sedar pasukan lain seperti Korea Selatan, China, dan Jepun mempunyai tahap kecergasan yang sangat tinggi.
''Namun, kami sedang menuju ke arah itu dan menunjukkan kemajuan yang positif," katanya pada sidang media pengumuman skuad ke Bihar, di sini, hari ini.
Beliau mengakui India, Jepun dan Korea Selatan antara halangan utama, namun beliau percaya skuad negara mampu beri saingan sengit.
Sarjit menyasarkan podium pada kejohanan kali ini, sekali gus mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai pasukan kedua terbaik di peringkat Asia.
"Setiap kejohanan yang kami sertai adalah penting kerana melibatkan mata kedudukan ranking. Mata ini sangat diperlukan memandangkan Malaysia hanya enam mata di hadapan Korea," katanya.
Seramai 20 pemain, gabungan pemain berpengalaman dan baharu telah dipilih untuk membawa cabaran negara, dengan pemain pertahanan Marhan Jalil, sekali lagi diberi tanggungjawab sebagai kapten pasukan.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, Bangladesh dan Chinese Taipei akan memulakan kempen menentang Bangladesh, 29 Ogos ini.
Skuad Speedy Tigers dijadual mengharungi dua perlawanan persahabatan menentang India pada 25 Ogos dan China pada 27 Ogos sebelum kejohanan bermula.
Kejohanan Piala Asia kali ini menawarkan slot automatik ke Piala Dunia.##