fb fb fb fb fb

FAM sasar tajaan RM15 juta tahun ini

FAM sasar tajaan RM15 juta tahun ini, tampung pengurusan dan skuad kebangsaan/Foto Bernama

PETALING JAYA, 20 Ogos - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), menyasarkan kutipan penajaan berjumlah RM15 juta tahun ini.

Dana itu bagi menampung kos pengurusan pentadbiran dan skuad kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Penajaan dan Pemasaran FAM, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, setakat ini pihaknya telah berjaya memperoleh tajaan bernilai antara RM7 juta hingga RM8 juta.

“Jumlah yang ada masih belum mencukupi, namun kami optimis untuk mencapai sasaran yang ditetapkan. Dalam masa terdekat, FAM juga akan menerima tajaan tambahan daripada syarikat-syarikat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pengumuman pembaharuan kerjasama antara FAM dan jenama minuman isotonik, 100PLUS, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram, serta Pengarah Urusan Bahagian Makanan & Libat Urus Industri Fraser & Neave Holdings Bhd, Datuk Raffiq Md Ariff.

Dalam majlis itu, 100PLUS mengumumkan penerusan kerjasama sebagai Rakan Minuman Isotonik Rasmi pasukan kebangsaan bagi tempoh dua tahun dengan tajaan keseluruhan bernilai RM2 juta.

Menurut Raffiq, pihaknya berbesar hati meneruskan kerjasama tersebut memandangkan hubungan erat yang terjalin selama ini dengan FAM.

“100PLUS sentiasa konsisten menyokong pembangunan bola sepak tanah air. Kami percaya kerjasama ini merupakan cara terbaik untuk menyumbang kepada pertumbuhan sukan bola sepak di Malaysia,” katanya.

ASHRIQ FAHMY AHMAD