fb fb fb fb fb

SIC hanya fokus kesinambungan penganjuran MotoGP

Litar Antarabangsa Sepang (SIC)/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 20 Ogos - Litar Antarabangsa Sepang (SIC), menegaskan tumpuan utama ketika ini adalah memastikan kesinambungan penganjuran MotoGP Malaysia selepas 2026, sekali gus menolak spekulasi mengenai kemungkinan membawa semula Formula 1.

SIC menjelaskan, kenyataan Ketua Pegawai Eksekutifnya sebelum ini merujuk khusus kepada rundingan pembaharuan kontrak MotoGP, bukannya Formula 1 yang memerlukan kos penganjuran jauh lebih tinggi.

MotoGP disifatkan lebih berdaya maju dengan sambutan berterusan daripada peminat tempatan dan lebih mudah diurus dari aspek penganjuran.

Kontrak semasa Malaysia menganjurkan MotoGP akan berakhir pada 2026.

SIC turut memaklumkan pihaknya komited bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan, Dorna Sports dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan acara berprestij itu terus menjadi sebahagian daripada kalendar sukan antarabangsa di Malaysia.

Selain itu, data dan analisis menyeluruh mengenai impak ekonomi, pelancongan dan pembangunan sukan akan terus disediakan bagi menyokong proses membuat keputusan mengenai masa depan MotoGP di negara ini.

MotoGP merupakan acara sukan antarabangsa paling lama dianjurkan di Malaysia dan kekal menjadi antara tarikan utama buat peminat serta pelancong.

ASHRIQ FAHMY AHMAD