KUALA LUMPUR, 5 Julai- Ketangkasan tonggak jentera serangan skuad hoki negara Faizal Saari meledak dua gol membantu Malaysia menumpaskan Belgium B, 3-2 pada aksi ketiga Siri Perlawanan Persahabatan Eropah 2024 di Sportcentrum Wilrijkse Plein di Antwerp, Belgium hari ini.
Dua gol itu diperolehi Faizal menerusi jaringan padang seawal minit pertama dan minit ke-16 sebelum adiknya Mohd Fitri Saari turut menyumbang jaringan padang pada minit ke-29, manakala Belgium B menyumbat dua gol pada minit ke-44 dan ke-57.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Negara, Sarjit Singh berkata kredit harus diberikan kepada kesemua pemain negara selepas dapat mengimbangi kekuatan pasukan Belgium B dalam keseluruhan tiga perlawanan bertemu pasukan sama.
"Permulaan yang baik untuk perlawanan ketiga dan pasukan berjaya mendahului 3-0. Ada beberapa perubahan posisi pemain dilakukan hari ini di mana Muhammad Marhan Jalil beraksi di posisi tengah kiri.
"Seterusnya ke Jerman, pasukan berharap dapat membuat penambahbaikan beberapa perkara seperti struktur bertahan, klinikal di hadapan gol lawan, pertahanan lebih baik apabila menghadapi pukulan sudut penalti dan lain-lain," katanya menerusi kenyataan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) malam ini.
Malaysia sebelum ini menewaskan Belgium B 3-2 pada aksi pembukaan pada Isnin (1 Julai) sebelum tumpas kepada lawan sama, 2-4 pada Rabu.
Pasukan negara seterusnya akan ke Monchengladbach, Jerman untuk dua lagi perlawanan persahabatan.