ISKANDAR PUTERI, 20 November - Jaringan hatrik Heberty Fernandes membawa kemenangan Johor Darul Takzim (JDT) ke atas KL Rovers dalam saingan pusingan pertama 16 terbaik Piala Malaysia 2024/25, malam tadi.
Kemenangan 3-0 itu menjadi bekalan terbaik menjelang aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, minggu depan.
KL Rovers selaku tuan rumah bagi aksi pertama berjaya mengawal perlawanan sebelum bolos pada minit ke-26 melalui jaringan Heberty.
Gol kedua peribadi Heberty muncul tiga minit kemudian, menewaskan penjaga gawang, Ahmad Asyraf Omar.
Hatrik Heberty muncul pada babak kedua perlawanan pada minit ke-71, sekali gus mengesahkan kemenangan JDT dengan bergaya sebelum aksi kedua pada 30 November ini.
Perlawanan itu juga menyaksikan pengendali JDT Hector Bidoglio merombak kesebelasan utama dengan menurunkan beberapa pemain yang memerlukan minit permainan.
"Saya percaya dengan kemampuan skuad JDT, ada beberapa pemain yang memerlukan minit permainan. Mereka adalah pemain yang bagus. Pada pendapat saya, semua pemain cuba mempamerkan 100% kemampuan mereka.
"Permainan malam ini agak sukar kerana pasukan lawan bermain secara defensif," katanya selepas perlawanan tersebut.
Sementara itu, jurulatih KL Rovers Wan Mustafa Wan Ismail tetap optimis pasukannya masih berpeluang mencipta sesuatu dalam aksi kedua nanti.
Beliau juga berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang berjaya mengimbangi permainan.