fb fb fb fb fb

Harimau Malaya tidak gentar perang psikologi Kyrgyzstan

Skuad Harimau Malaya terus giat menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya bagi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027/ FB FAM

PETALING JAYA, 13 November- Menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, pemain tengah Harimau Malaya, Brendan Gan tidak gentar untuk berdepan Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini.

Menurutnya, perang psikologi yang dilancarkan Ketua Jurulatih lawan, Stefan Tarkovic tidak memberi kesan kepada skuad Kebangsaan.

Pemain berusia 35 tahun itu juga percaya dengan kemampuan rakan sepasukan untuk menjinakkan lawan yang menghuni ranking ke-97 dunia itu.

"Kami hanya datang ke sini untuk menjalankan tugas dan itu apa yang kami mahu lakukan.
Bukan memberi tumpuan kepada perancangan mereka.Kami mesti fokus kepada apa yang mahu dilakukan dan bagaimana kami mahu bermain," katanya.

Stefan difahamkan menyenaraikan dua pemain yang pernah beraksi di kancah Liga Malaysia iaitu Mirbek Akhma-taliev yang mewakili PDRM FC dan Tamirlan Kozubaev yang bersama PKNS FC.

Kedua-dua pemain ini dikatakan mempunyai maklumat mengenai kelemahan skuad Harimau Malaya.

Kyrgyzstan dalam perkembangan lain pula memaklumkan tidak akan menurunkan beberapa pemain utama mereka sebagai salah satu elemen perang psikologi.

Sementara itu, tonggak pertahanan kebangsaan, Shahrul Saad bersedia mengekang barisan penggempur Kyrgyzstan jika diberikan peluang untuk beraksi.

Menurut pemain berusia 30 tahun itu, beliau dan rakan sepasukan juga sudah meneliti kekuatan dan kelemahan lawan.

"Sejak hari pertama lagi kita datang kita dah tengok perlawanan pasukan Kyrgyzstan dan kita dah tahu pemain merekayang ada dan saya harap kita mampu melakukan sesuatu untuk perlawanan yang akan datang. Kita bermain di tempat sendiri dan saya rasa kita boleh menggunakan kelebihan yang ada untuk mendapatkan kemenangan di tempat kita," katanya.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan pertama Kumpulan D menentang Kyrgyzstan sebelum terbang ke Taipei City bagi perlawanan kedua bertemu Taiwan pada 21 November ini.

ZEHRA BINTI ZAMBRI