fb fb fb fb fb

Gagal julang Piala Asia, Klinsmann rela dipersalahkan peminat

Ketua jurulatih Korea selatan, Jurgen Klinsmann /FOTO REUTERS

SEOUL, 13 November-Ketua jurulatih Korea Selatan, Jurgen Klinsmann berkata dia berazam untuk menamatkan kemarau kejuaraan yang dialami Korea Selatan menjelang kejohanan Piala Asia di Qatar tahun depan.

Bekas pemain dan jurulatih kebangsaan Jerman itu juga bersedia untuk dikecam oleh para penyokong pasukan berkenaan sekiranya gagal.

Korea Selatan yang dianggap sebagai salah satu kuasa bola sepak Asia pernah mencipta sejarah apabila mara ke separuh akhir Piala Dunia 2002, namun tidak pernah menjulang kejuaraan Piala Asia sejak tahun 1960.

Sejak dilantik Februari lalu menggantikan Paulo Bento, Klinsmann dikritik para peminat ekoran prestasi kurang memberangsangkan pasukan Korea Selatan apabila gagal memenangi lima perlawanan persahabatan sebelum berjaya memenangi tiga perlawanan berturut-turut.

Klinsmann berkata misi utamanya adalah untuk memenangi Piala Asia yang sebelum ini ditangguhkan akibat pandemik COVID-19.

"Kami ingin ke sana (Qatar) dan memenangi Piala Asia", kata bekas Ketua jurulatih Amerika Syarikat (AS) itu kepada wartawan.

"Tiada perkataan "kemungkinan", Kami ingin menjulang kejuaraan.

Pada kejohanan Piala Asia kali ini, Korea Selatan diletakkan sebagai pilihan dan bakal diperkuatkan dengan beberapa bintang yang bermain di Eropah seperti Son Heung-min, Kim Min-jae dan Lee Kang-in.

Untuk rekod, kali terakhir Korea Selatan layak ke final Piala Asia ialah pada 2015, namun tumpas di tangan tuan rumah Australia 2-1.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD