MADRID, 13 November - Dua gol lewat oleh Antoine Griezmann dan Samuel Lino pada separuh masa kedua membantu Atletico Madrid menewaskan Villarreal 3-1 pada pertemuan di ibu negara Sepanyol pada Ahad.
Pada perlawanan yang dilangsungkan di laman sendiri itu, pasukan pelawat, Villarreal terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Gerard Noreno pada minit ke-20.
Villarreal yang memecat pengurus pasukan, Jose Rojo 'Pacheta' pada Jumaat mendapat peluang keemasan bagi menggandakan kedudukan namun percubaan Alexander Sorloth pada minit ke-36 berjaya dihalang oleh penjaga gol Atletico, Jan Oblak.
Atletico yang merupakan satu-satunya pasukan yang belum tewas pada perlawanan di laman sendiri musim ini mula mendominasi permainan dan berjaya menyamakan kedudukan pada masa tambahan sebelum rehat menerusi rembatan pemain pertahanan, Axel Witsel yang mendapat umpanan lintang Griezmann.
Bersambung babak kedua, Atletico menggandakan asakan dan memperolehi beberapa peluang, namun mensia-siakannya. Atletico terpaksa menanti sehingga minit ke-80 bagi mendahului apabila Griezmann berjaya merembat masuk setelah mendapat umpanan cantik daripada pemain gantian Pablo Barrios bagi menjadikan kedudukan 2-1.
Gol tersebut merupakan gol kelapannya musim ini sekali gus menjadikannya penjaring terbanyak liga, ketinggalan dua gol berbanding Jude Bellingham yang menjaringkan 10 gol buat Real Madrid musim ini.
Atletico yang mendapat sokongan padu para penyokong sendiri bertambah ghairah bagi mencari gol kemenangan memperolehi gol ketiga perlawanan menerusi pemain gantian, Samuel Lino pada minit ke 85.
Kemenangan itu meletakkan Atletico Madrid di tangga ketiga dengan 28 mata, dua mata dibelakang Barcelona, namun berbaki satu perlawanan.-REUTERS