fb fb fb fb fb

Hanya lima pemain lapor diri kem latihan pusat Sukan Sea

KELANA JAYA, 20 April- Hanya lima daripada 31 pemain skuad Bawah-23 (B23) yang dipanggil untuk latihan pusat Sukan SEA Hanoi, melaporkan diri untuk sesi latihan pertama mereka di Wisma FAM, malam tadi.

Lima pemain tersebut adalah Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Muhammad Fahmi Daniel Mohd Zaaim, Muhammad Faiz Amer Runnizar, Muhammad Shafi Azswad Sapari dan Muhammad Haqimi Azim Rosli.

Dengan pengecualian untuk pemain berpangkalan di luar negara iaitu Luqman Hakim Shamsudin dan Muhammad hadi Fayyadh Abdul Razak yang dijangka akan pulang minggu hadapan, yang lainnya merupakan pemain dalam Liga Malaysia.

Bagaimanapun Ketua Jurulatih Brad Maloney berharap bahawa kesemua pemain lain yang pada masa ini bermain dalam Liga Super dan Liga Premier, akan dapat melaporkan secara berfasa dalam tempoh terdekat.

"Kami sedar bahawa pemain akan melapor diri secara berperingkat pada masa ini, kami telah memulakannya dengan pemain sedia ada, tetapi akan meneruskan perbincangan dengan kelab dan pemain, pengarah teknikal untuk memastikan pemain lain yang melapor diri," kata Maloney.

Skuad Maloney dijadual akan mengadakan dua Perlawanan Antarabangsa Tier 2 bertemu Timor-Leste B-23 pada 29 April 2022 dan Filipina B-23 pada 1 Mei 2022, dengan perlawanan akan berlangsung secara tertutup tanpa kehadiran penonton.

Diundi dalam Kumpulan B, Malaysia dijadualkan untuk berhadapan Thailand pada 7 Mei, Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) di Stadium Thien Truong Stadium, Nam Dinh. Hanya dua pasukan terbaik layak ke separuh akhir.

Pada edisi sebelum ini di Sukan SEA 2019, anak buah Ong Kim Swee gagal melepasi peringkat kumpulan, selepas memenangi pingat perak pada edisi 2017, di Kuala Lumpur.

Malaysia kali terakhir memenangi ‘ibu segala emas’ temasya itu pada edisi 2011 di Indonesia di bawah bimbingan Kim Swee.


(Ketua Jurulatih Skuad Bawah-23, Brad Maloney)

Media Baharu