fb fb fb fb fb

Hakim Danish sasar tamat kemarau podium di Misano

Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli berazam menoktahkan kemarau podium dalam Pusingan Kelima Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2025 di Litar Misano, hujung minggu ini

KUALA LUMPUR, 18 September – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli berazam menoktahkan kemarau podium sejak Mei lalu apabila kembali beraksi dalam Pusingan Kelima Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2025 di Litar Misano, hujung minggu ini.

Hakim, 18, yang mewakili pasukan SIC Racing MSi, kali terakhir menaiki podium pada aksi pembuka tirai di Estoril, Portugal apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Namun, prestasinya merosot dalam tiga pusingan berikutnya di Aragon, Jerez dan Magny Cours apabila gagal menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik, malah dua daripadanya berakhir tanpa sebarang mata.

1809 SKN HAKIM KEMARAU 2Hakim Danish Ramli

Meskipun berdepan detik sukar, pelumba kelahiran Terengganu itu kembali dengan semangat baharu selepas menamatkan saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2025 di tempat ketiga keseluruhan, juga di Misano minggu lalu.

“Saya lebih bersemangat untuk berlumba di Misano kerana baru sahaja tamat Rookies Cup di sini. Sekarang saya di tangga ketujuh keseluruhan JuniorGP dan akan cuba raih seberapa banyak podium. Jangan lupa terus beri sokongan dan doakan kejayaan saya,” katanya.

Ketika ini, Hakim berada 51 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Brian Uriarte dari Sepanyol, yang juga juara keseluruhan RBMRC musim ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN