SHENZHEN (China), 18 September - Pemain perseorangan wanita nombor satu dunia dari Korea Selatan, An Se-young, memulakan kempen dengan cemerlang apabila menewaskan pemain Jepun Natsuki Nidaira 21-13, 21-13 pada pusingan pertama BWF China Masters 2025 di sini pada Selasa, lapor Xinhua.
“Shenzhen memberikan saya kesan yang sangat baik,” kata An, yang muncul juara di kejohanan ini tahun lalu.
“Saya hanya fokus pada satu perlawanan pada satu-satu masa. Jika saya dapat menunjukkan apa yang saya latih dalam setiap perlawanan, kejuaraan itu akan hadir secara semula jadi.”
Pemain Jepun Akane Yamaguchi turut mara selepas mudah menewaskan pemain Thailand Supanida Katethong 21-17, 21-15.
Kejutan terbesar hari itu hadir dalam acara perseorangan lelaki apabila pilihan kelapan dari Singapura, Loh Kean Yew, tersingkir awal selepas tewas kepada pemain kelayakan Ireland Nhat Nguyen 20-22, 14-21.
Juara dunia 2021 itu meluahkan rasa tidak puas hati dengan prestasinya.
“Saya tidak dapat fokus dalam perlawanan,” kata Loh. “Keadaan fizikal saya tidak cukup baik untuk mengerah tenaga dan mengekalkan rentak biasa.”
Peminat tuan rumah pula gembira apabila Weng Hong yang tampil dengan aksi meyakinkan untuk menewaskan pemain Jepun Kodai Naraoka 21-16, 21-9. “Saya mengekalkan mentaliti yang stabil dan tidak gopoh,” komen Weng.
Seorang lagi pemain China, Lu Guangzu, turut mara selepas menewaskan pemain Jepun Koki Watanabe.
Pertembungan menarik ulangan final Kejohanan Dunia berlaku dalam acara beregu lelaki, apabila pasangan China Chen Boyang dan Liu Yi tewas kepada pasangan Korea Selatan Seo Seung-jae dan Kim Won-ho 21-18, 19-21, 21-15 walaupun bermula dengan baik.
“Kami bermain lebih baik berbanding di Kejohanan Dunia, tetapi kemahiran mereka masih lebih mantap,” kata Liu.
Beregu wanita China yang baru dinobatkan juara dunia, Liu Shengshu dan Tan Ning, turut membuka kempen dengan kemenangan 21-11, 21-16 ke atas gandingan Indonesia Lanny Tria Mayasari dan Amallia Cahaya Pratiwi.
“Kami perlu mengekalkan mentaliti sebagai juara di sini,” kata Liu Shengshu. “Matlamat kami sekarang adalah mengelak kecederaan, menjaga tubuh dengan baik, kemudian menang perlawanan pusingan 16 terbaik pada Khamis.” - BERNAMA-XINHUA