fb fb fb fb fb

Gundogan kembali ke Etihad

Ilkay Gundogan (kiri) kembali menyertai Manchester City selepas semusim di La Liga / Foto REUTERS

MANCHESTER, 24 Ogos- Ilkay Gundogan kembali menyertai Manchester City selepas menghabiskan masa selama semusim di La Liga bersama Barcelona.

Manchester City dilaporkan menandatangani bekas ketua pasukan Jerman itu dengan kontrak selama satu tahun dengan lanjutan 12 bulan.

Pemain berusia 33 tahun itu meninggalkan City bagi menyertai Barcelona menerusi perpindahan secara percuma selepas mengetuai skuad kendalian Pep Guardiola memenangi kejuaraan trebel pada 2022.

Gundogan dijangka memulakan kesebelasan utama pada perlawanan menentang Ipswich Town pada Sabtu.

"Berada di sini (Manchester City) selama tujuh tahun merupakan satu kepuasan yang sebenarnya.Baik di dalam mahupun di luar padang.

"Sebagai pemain dan individu, saya telah membentuk hubungan istimewa bersama-sama kelab dan para penyokong dan menikmati setiap kejayaan", kata Gundogan.

"Berpeluang untuk kembali ke kelab ini merupakan satu peluang yang sangat bermakna", tambahnya.

Gundogan kembali ke City selepas memenangi 14 kejuaraan termasuk lima kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara.

Meskipun masih mempunyai baki kontrak selama dua tahun bersama Barcelona, Gundogan dibenarkan oleh pengurusan kelab berkenaan untuk meninggalkan Barcelona sekiranya dia mahu.

"Selepas setahun bersama Barcelona, ini adalah masa untuk mengucapkan selamat tinggal.

"Saya telah memberikan segala-galanya buat kelab. Berjuang dalam musim yang sukar", katanya menerusi hantaran di media sosial.

Bersama Barcelona, Gundogan berjaya membuat 51 penampilan bagi membantu kelab Catalan itu menduduki tangga kedua dalam saingan La Liga.

Kehadirannya di City ditagih oleh kelab berkenaan selepas pemergian penyerang Argentina, Julian Alvarez yang dijual kepada Atletico Madrid selain ketiadaan pemain sayap, Oscar Bobb yang terpaksa direhatkan selama empat bulan selepas mengalami kecederaan akibat patah kaki semasa latihan.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD