BILBAO, 21 Mei - Pertembungan akhir Liga Europa pada awal pagi Khamis merupakan peluang terakhir buat Manchester United dan Tottenham Hotspur untuk menempah tempat ke Liga Juara Eropah (UCL) musim depan.
Kejayaan itu juga penting bagi menutup prestasi buruk kedua-dua pasukan yang sekadar berada di kelompok bawahan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Pengendali Manchester United, Ruben Amorim menyifatkan kemenangan ini sebagai hadiah terbaik kepada penyokong yang sentiasa berada di belakang pasukan.
“Saya rasa penyokong boleh lihat apa yang kami cuba lakukan. Mereka nampak kadang-kadang saya lebih memikirkan kelab berbanding diri sendiri. Bagi yang faham, terutamanya pihak pengurusan, mereka sedar kami berdepan banyak isu yang rumit dalam konteks semasa.
"Saya sendiri sukar nak jelaskan mengapa penyokong masih menyokong saya ketika ini. Tapi saya akan terus cuba buktikan kepada mereka dan kepada pengurusan bahawa saya berada di landasan yang betul," katanya.
Di kem Spurs, pengendali Ange Postecoglou kini berdepan spekulasi mengenai masa depannya meskipun baru semusim mengemudi kelab.
Sekali gus menjadikan final ini berkemungkinan menjadi penampilan terakhirnya bersama pasukan dari London itu.
“Saya tidak merasakan tugas saya di sini sudah selesai. Saya benar-benar percaya kami sedang membina sesuatu, dan kemenangan trofi ini diharap dapat mempercepatkan proses itu.
"Masih banyak kerja yang perlu dilakukan, terutama selepas pelbagai cabaran yang kami hadapi musim ini sesuatu yang semua orang tahu.
"Namun di sebalik cabaran itu, ada juga perkembangan positif yang saya ingin teruskan. Sama ada saya diberi peluang atau tidak, itu bukan keutamaan buat masa ini," tegasnya kepada pemberita.
Tottenham yang kali terakhir menjulang kejuaraan Eropah pada tahun 1984, kini berharap dapat mengakhiri kemarau trofi selama 41 tahun.
Manakala United berhasrat merangkul kejuaraan bagi menebus kekalahan aksi akhir kepada Villareal menerusi penentuan sepakan penalti pada musim 2020/21.