MOENCHENGLADBACH,23 Ogos-Pengurus Bayer Leverkusen, Xabi Alonso menggesa agar para pemainnya mempamerkan watak sebenar selepas pasukannya mencatatkan kemenangan tipis 3-2 menewaskan Borussia Moenchengladbach pada perlawanan pembukaan kempen Bundesliga musim ini.
Kemenangan tersebut sekali gus menjamin rekod tanpa kalah Bayer Leverkusen pada kejohanan berkenaan.
Pada perlawanan berkenaan, Leverkusen berjaya mendapatkan gol kemenangan pada masa tambahan separuh masa kedua menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Florian Wirtz selepas pemain gantian, Amine Adli dikasari oleh pertahanan Moenchengladbach, Ko Itakura di dalam kotak penalti.
"Ia merupakan perlawan pertama bagi kempen Bundesliga yang sengit. Banyak perkara yang berlaku penuh dengan emosi hingga ke akhir. Kami bermain dengan baik dalam banyak fasa,” kata Alonso dalam satu sidang media.
"Kami tidak begitu mantap hari ini, kami juga agak pasif dalam beberapa fasa. Kami perlu memperbaiki perkara itu. Kami perlu lebih agresif.
“Sukar untuk menjelaskan mengapa kami selalu menjaringkan gol pada minit-minit akhir", tambah Alonso.
Juara bertahan Bundesliga itu yang sebelum ini mencipta rekod baharu kemenangan sebanyak 51 perlawanan dalam semua pertandingan meneruskan momentum kemenangan menerusi gol penyamaan saat-saat akhir.
Terdahulu, Leverkusen yang baharu dinobatkan sebagai juara Piala Super Jerman turut bergelut ketika menewaskan VfB Stuttgart 4-3 menerusi sepakan penalti selepas terikat 2-2 sehingga tamat permainan.-REUTERS