fb fb fb fb fb

Norza letak jawatan, V. Subramaniam jadi pemangku Presiden BAM

Tan Sri Mohamad Norza Zakaria / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos - Tan Sri Mohamad Norza Zakaria secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas berkhidmat selama tujuh tahun.

Keputusan itu telah diterima oleh ahli Majlis BAM yang turut memutuskan untuk melantik Timbalan Presiden Satu, Datuk V. Subramaniam sebagai pemangku presiden berkuat kuasa hari ini.

“Sebagai Presiden BAM, saya tidak menyesal, saya telah memberikan yang terbaik, saya telah mencuba yang terbaik. Saya harap yang terbaik untuk pemimpin seterusnya bagi memastikan badminton terus menjadi sukan yang menjadi kebanggaan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat ahli majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini.

Mohamad Norza sebelum ini pernah mengumumkan hasratnya untuk melepaskan jawatan pada Disember 2023.

Beliau telah menerajui BAM sejak mengambil alih kepimpinan daripada Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff pada tahun 2017.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN