fb fb fb fb fb

Wilayah Persekutuan raih ibu segala pingat

Wilayah Persekutuan tidak melepaskan peluang bergambar selepas kemenangan benam Melaka 2-1 dalam perlawanan akhir bola sepak lelaki di Mukah hari ini/Foto JaPEN Sarawak

MUKAH, 24 Ogos - Pasukan Wilayah Persekutuan muncul juara dengan menewaskan Melaka 2-1 dalam perlawanan akhir  bola sepak lelaki SUKMA XXI Sarawak 2024 yang berlangsung di Stadium Mukah petang tadi, sekali gus merangkul pingat emas yang menjadi rebutan.

Wilayah Persekutuan membuka tirai jaringan pada minit ke-19 melalui sepakan Muhammad Harith Imran Hairee.

Kedua-dua pasukan kemudian gagal menambah jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, Melaka segera melancarkan serangan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-53 hasil jaringan Mohamad Farish Ainun Aswadi.

Namun, Wilayah Persekutuan kembali di hadapan dengan jaringan kedua oleh Nu’man Hakim Abdul Rahman pada minit ke-67.

Jaringan tersebut diprotes oleh Melaka, tetapi bantahan mereka ditolak oleh pengadil.

Situasi semakin tegang apabila pergaduhan hampir tercetus pada minit ke-71, menyaksikan pemain Melaka, Mohd Haziq Zamri, dilayangkan kad merah selepas menolak pemain Wilayah Persekutuan.

Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan, mengesahkan kemenangan Wilayah Persekutuan dan pingat emas bolasepak lelaki menjadi milik mereka.

GRACE AISYAH KEDAYAN