fb fb fb fb fb

Trofi Piala Dunia Kelab FIFA & NBA jadi tarikan di Times Square, New York

FOTO REUTERS

NEW YORK, 21 Mei- Cuaca cerah di Times Square semalam menyaksikan kehadiran ratusan peminat sukan yang teruja menyaksikan dua trofi berprestij dunia iaitu trofi Piala Dunia Kelab FIFA dan Trofi Kejuaraan NBA Larry O’Brien dipamerkan kepada umum.

Legenda bola sepak FIFA, Carlos Bocanegra, yang juga bekas kapten pasukan kebangsaan lelaki Amerika Syarikat, menyifatkan suasana itu sebagai detik istimewa yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.

“Apabila acara seperti ini diadakan, ia bawa orang dari seluruh dunia berkumpul dan menjadikannya pengalaman budaya yang sangat menarik,” katanya, merujuk kepada trofi Piala Dunia Kelab FIFA 2025 yang bakal bermula 15 Jun di New York dan New Jersey, serta perlawanan akhir NBA yang dijadualkan bermula 5 Jun.

Sebanyak 32 pasukan dari enam konfedersi akan berentap dalam 63 perlawanan di 12 lokasi di Amerika Syarikat, dengan perlawanan akhir berlangsung di Stadium MetLife, New Jersey pada 13 Julai.

“Atmosfera di stadium sangat luar biasa, dan kita gembira kerana dapat rasai pengalaman ini di Amerika. Ia sesuatu yang mengujakan buat semua peminat sukan,” ujar Bocanegra lagi, yang turut menyuarakan harapan agar sukan bola sepak terus berkembang dalam kalangan rakyat AS.

Tambah beliau, “Kita akan jadi tuan rumah trofi Piala Dunia Kelab FIFA, diikuti Piala Dunia FIFA (2026), Piala Dunia Wanita serta Sukan Olimpik selepas itu. Ini adalah masa yang sangat menarik buat dunia bola sepak di Amerika Syarikat.”

Sementara itu, Trofi Larry O’Brien bakal menjadi rebutan empat pasukan NBA yang mara ke peringkat akhir, New York Knicks, Minnesota Timberwolves, Oklahoma City Thunder dan Indiana Pacers dalam beberapa minggu akan datang.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE