fb fb fb fb fb

Giro d'Italia: Daan Hoole menang peringkat Ke-10, Del Toro kekal pimpin senarai pelumba

Pelumba Belanda, Daan Hoole / REUTERS

PISA, 21 Mei- Pelumba Belanda, Daan Hoole merangkul kemenangan pertama dalam perlumbaan Grand Tour selepas muncul juara ujian masa peringkat ke-10 Giro d’Italia pada Selasa, yang berlangsung dalam cuaca hujan dan permukaan litar licin.

Hoole, 26, dari pasukan Lidl–Trek, memanfaatkan sepenuhnya keadaan litar yang masih kering di awal saingan untuk menamatkan laluan sejauh 28.6 kilometer dari Lucca ke Pisa dalam masa 32 minit 30 saat.

Menjelang giliran pelumba-pelumba utama memulakan kayuhan, hujan mula turun, menyebabkan selekoh menjadi licin dan kelajuan menurun, satu cabaran besar buat kelompok pendahulu.

Pelumba Mexico, Isaac del Toro (UAE Team Emirates), yang menyarung jersi merah jambu selaku pendahulu keseluruhan, sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-37.

Namun yang lebih penting, beliau berjaya mengelak sebarang insiden di atas jalan basah untuk mengekalkan kedudukannya di puncak carta keseluruhan.

Bagaimanapun, kelebihan masa Del Toro kini terhakis kepada 25 saat berbanding rakan sepasukannya dari Sepanyol, Juan Ayuso, yang berjaya menamatkan ujian masa di tempat ke-22.

Pilihan utama perlumbaan, Primoz Roglic dari pasukan Red Bull Bora Hansgrohe pula kembali menunjukkan taring selepas insiden kemalangan teruk yang menimpanya Ahad lalu.

Beliau menamatkan perlumbaan dengan masa 1 minit 15 saat di belakang Hoole, namun berjaya naik ke tangga kelima keseluruhan, hanya ketinggalan 1 minit 18 saat di belakang Del Toro.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE