HAMBURG, 20 Mei - Pilihan kedua kejohanan, Frances Tiafoe, memulakan saingan Terbuka Hamburg dengan bergaya apabila mencatat kemenangan mudah ke atas wakil China, Bu Yunchaokete.
Pemain ranking ke-15 dunia itu mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik dengan keputusan 7-5, 6-2.
Pertembungan kedua-dua pemain menyaksikan, Tiafoe lebih konsisten selepas memenangi 26 daripada 33 mata servis pertama.
Fokus Bu juga dilihat terganggu apabila mencatat lima double fault sepanjang perlawanan.
Tiafoe bakal berdepan pemain Sepanyol, Roberto Bautista Agut dalam aksi seterusnya untuk memburu tempat ke suku akhir.
Turut mara, Alejandro Davidovich Fokina yang tidak berdepan masalah mengatasi pemain berpengalaman dari Perancis, Gael Monfils, dengan keputusan 6-3, 6-3.
Pemain pilihan keenam dari Kanada, Felix Auger-Aliassime juga melangkah ke peringkat seterusnya menumpaskan pemain tuan rumah, Daniel Altmaier.