KUALA LUMPUR, 20 Mei - Beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing meneruskan rentak kemenangan ke atas gandingan China, Chen Qing Chen yang juga juara Olimpik dan gandingan baharu beliau Wang Ting Ge pada pusingan pertama Malaysia Masters 2025.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri di Axiata Arena Bukit Jalil, pasangan negara yang kini berada di kedudukan ke-24 dunia menampilkan persembahan bertenaga untuk meraih kemenangan straight set 21-19, 21-19 dalam masa 53 minit.
Kejayaan itu mengulangi skrip kemenangan mereka ke atas pasangan sama di pusingan kedua Terbuka Jerman pada Februari lalu.
Dalam pada itu, Mei Xing menyifatkan kemenangan tersebut sebagai suntikan moral untuk mereka mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan tersebut.
"Sebelum ini, kami gagal menampilkan keserasian namun pada perlawanan hari ini, terdapat sedikit peningkatan".
"Kami akan berusaha memperbaiki persefahaman dan permainan untuk perlawanan seterusnya,"
Menanti Pei Kee-Mei Xing di pusingan kedua, Khamis ini satu lagi gandingan dari China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian yang bangkit menyingkirkan wakil negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting, 21-11, 17-21, 21-13.
Sementara itu, beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut cemerlang apabila menumpaskan gandingan Perancis, Eloi Adam-Leo Rossi.
Pasangan pilihan kedua itu dilihat tidak mengalami sebarang masalah sebelum menang mudah, 21-16 dan 21-13 dalam tempoh 31 minit sekali gus mara ke pusingan kedua.