KUALA LUMPUR, 20 Mei - Penghargaan akan diberikan kepada skuad sepak takraw negara yang beraksi pada kejohanan Piala Asia 2025, Ahad lalu.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, imbuhan akan diberikan susulan prestasi membanggakan ketika Malaysia berjaya menewaskan Thailand dalam aksi akhir acara regu.
“Kita memang ada imbuhan sedikit, sekadar yang termampu dan PSM akan bagi, itu janji saya kepada pemain. Bonus tetap ada walaupun tidak besar,” katanya selepas pelancaran Liga Sepak Takraw (STL), hari ini.
Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan bahawa ganjaran Piala Asia masih belum diiktiraf oleh Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai kejohanan dalam senarai rasmi yang melayakkan atlet menerima imbuhan.
“Yang tersenarai sekarang cuma Kejohanan Asia tapi kalau ada permohonan daripada persatuan sukan, MSN akan lihat dan pertimbangkan,” katanya.
Malaysia menutup tirai edisi sulung Piala Asia 2025 dengan penuh bergaya apabila mara ke final dalam empat acara iaitu regu, beregu (double), kuadran dan regu berpasukan.