fb fb fb fb fb

Malaysia Masters 2025: Beregu lelaki negara raih kemenangan tewaskan Taiwan pada pusingan kelayakan

Foto Facebook Badminton Association of Malaysia (BAM)

KUALA LUMPUR, 20 Mei - Beregu lelaki negara, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong berjaya ke peringkat seterusnya selepas menumpaskan gandingan Taiwan, Chiang Chie Wei-Wu Hsuan Yi pada aksi kelayakan pertama, hari ini.

Saingan yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil tersebut menyaksikan pasangan pada kedudukan ke-39 dunia itu menampilkan prestasi positif apabila meraih kemenangan mudah dalam perlawanan pertama itu.

Pada set pertama Hang Yee-Eng Cheong tidak mengalami sebarang masalah sebelum menang 21-14.

Memasuki set seterusnya pasangan negara sekali lagi memberikan tentangan hebat dengan corak permainan yang agresif sebelum mencapai kemenangan mereka 21-16.

Pasangan negara itu hanya memerlukan 31 minit untuk mengesahkan kemaraan mereka pada pusingan kedua nanti.

Dalam pada itu, beregu lelaki negara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian meneruskan momentum cemerlang apabila turut melangkah ke peringkat kedua.

Pasangan pada kedudukan ke-41 dunia itu berjaya menumpaskan gandingan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh.

Mereka hanya memerlukan 40 minit sebelum meraih kemenangan mudah ke atas pasangan pilihan ke-8 itu dengan 21-15 dan 21-18.

Terdahulu, gandingan lelaki negara, Nur Muhammad Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong gagal melangkah ke pusingan kedua selepas tumpas kepada gandingan Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han.

Pasangan Taiwan hanya memerlukan 36 minit untuk mengesahkan kemaraan mereka dengan meraih kemenangan straight set 21-19 dan 21-15.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE