KUALA LUMPUR, 20 Mei - Masalah kesihatan kerana demam tidak menghalang pemain beregu lelaki negara Aaron Tai tampil bertenaga bersama pasangannya Kang Khai Xing untuk melangkah ke undian utama Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.
Aaron, 18, berkata sorakan padu penyokong tempatan menjadi pembakar semangat untuk mereka mencatat kemenangan straight set ke atas rakan senegara Bryan Jeremy Goonting-Muhammad Fazriq Mohamad Razif, 21-17, 21-17 dalam masa 34 minit pada pusingan kelayakan.
“Saya mula rasa tak sihat sejak semalam, tapi langsung tidak terfikir untuk menarik diri. Memang badan rasa lemah masa masuk gelanggang, tapi bila dengar sorakan penonton semangat saya terus membara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Khai Xing berkata mereka akan mendapatkan pandangan barisan kejurulatihan sebelum turun menentang beregu Denmark William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer yang muncul naib juara Terbuka Thailand 2025 minggu lepas.
Terdahulu, pasangan Denmark itu menyingkirkan satu lagi beregu negara Chia Weijie-Lwi Sheng Hao dengan kemenangan 21-9, 21-16. - BERNAMA