KUCHING, 23 Ogos- Selangor membawa pulang pingat emas selepas menewaskan Sabah, 3-1 dalam saingan akhir bola sepak wanita Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang berlangsung di Stadium Negeri di sini hari ini.
Dalam saingan itu, Sabah terlebih dahulu mendapatkan jaringan menerusi tandukan ketua pasukan Azzlyeanieh Kinuli pada minit ke-11.
Selangor yang dibimbing bekas pengendali skuad bawah 17 tahun lelaki kebangsaan Osmera Omaro, bangkit menyamakan kedudukan selepas penyerang Nur Adrienna Zamzaihiri menyempurnakan hantaran lintang enam minit kemudian.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat babak pertama.
Aksi babak kedua berlangsung sengit dengan penyerang Nurin Umairah Abdul Manan berjaya meletakkan Selangor di depan pada minit ke-49.
Selangor terus menambah derita Sabah apabila pemain tengah Ayuna Anjani Lamsin meledak gol kemenangan pada minit ke-54.
Sementara itu pingat gangsa bola sepak wanita menjadi milik Pahang yang mencatat kemenangan 3-1 menewaskan Wilayah Persekutuan.