fb fb fb fb fb

GT World Challenge Asia: JMR cemerlang di Sepang

Foto Istana Negara

SEPANG, 14 April-Johor Motorsports Racing (JMR) mengungguli kejuaraan dalam GT World Challenge Asia 2025 selepas menjuarai perlumbaan kedua di sini.

Kemenangan berkenaan dicapai menerusi gandingan YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor (Tunku Jefri Ibrahim) dan Alexander Sims dari Britain.

Pada perlumbaan yang diadakan pada Ahad, pasangan berkenaan memulakan perlumbaan di petak ketiga.

Sims memulakan perlumbaan dengan konsisten sebelum menyerahkan pemanduan kepada Tunku Jefri.

Insiden kemalangan melibatkan pendahulu dan tempat kedua membuka ruang buat Tunku Abdul Rahman Al-Haj mendominasi perlumbaan sehingga ke garisan penamat.

Mereka memenangi kategori Pro-Am mengatasi cabaran pelumba Craft-Bamboo Racing, Qi Cao dan Jayden Ojeda.

Kejayaan berkenaan bertambah manis apabila ia disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Sementara itu, Tunku Panglima Johor, Tunku Jefri Ibrahim menyifatkan kemenangan tersebut sebagai kenangan yang sukar dilupakan.

"Tiada permulaan musim yang lebih indah daripada memenangi perlumbaan di tanah air sendiri. Ia momen yang saya tidak akan lupakan, lebih-lebih lagi dengan kehadiran ibu bapa saya.

"Ini adalah perlumbaan sulung dengan Corvette dan saya bangga dengan kerja keras seluruh pasukan", katanya di sini.

Rakan sepasukan, Alex Sims pula menyifatkan persiapan jentera baharu sebagai antara faktor yang menyumbang kepada kemenangan mereka.

"Segala persiapan berjalan lancar. Pasukan benar-benar telah bersedia dengan jentera baharu dan Tunku Jefri menunjukkan prestasi luar biasa.

Satu kemenangan yang cukup membanggakan", katanya.

Dalam perkembangan sama, satu lagi jentera JMR yang dikendalikan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor dan Jordan Love terpaksa menarik diri daripada perlumbaan.

Ia susulan kemalangan yang dialami oleh Love yang menyebabkan kerosakan pada jentera mereka.

Pusingan ketiga dan keempat GT World Challenge Asia akan berlangsung di Litar Antarabangsa Pertamina Mandalika, Indonesia pada 9 hingga 11 Mei 2025.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD