MADRID, 2 Jun- Penyerang Perancis, Antoine Griezmann telah melanjutkan kontraknya bersama Atletico Madrid sehingga tahun 2027, umum kelab Sepanyol itu pada Isnin.
"Griezmann dan Atletico telah mencapai persetujuan untuk memperbaharui kontrak pemain Perancis itu sehingga 30 Jun 2027," menurut kenyataan Atletico.
Griezmann, 34, merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Atletico dengan 197 gol dalam dua penggal bersama kelab tersebut.
Kontrak terdahulunya dijadual tamat pada 2026.
Namun, penyerang veteran itu bergelut dengan prestasi pada tahun 2025 dan kali terakhir menjaringkan gol adalah pada Februari, ketika Atletico menamatkan musim di tangga ketiga La Liga tanpa sebarang trofi.
Griezmann, yang menjaringkan gol ketika Perancis menewaskan Croatia dalam pusingan akhir Piala Dunia 2018, menyertai Atletico dari Real Sociedad pada 2014.
Beliau yang bersara daripada bola sepak antarabangsa tahun lalu, pernah memenangi Liga Europa pada 2018 dan dua kali muncul sebagai naib juara Liga Juara-Juara Eropah bersama Atletico sebelum berhijrah ke Barcelona pada 2019.
Namun, Griezmann kurang menyerlah di Barcelona, hanya memenangi Copa del Rey, sebelum kembali ke Atletico secara pinjaman pada 2021 dan kemudian menyertai kelab itu secara tetap.
Atletico dan Griezmann bakal beraksi dalam Piala Dunia Antara Kelab musim panas ini di Amerika Syarikat, dengan perlawanan pertama menentang juara Liga Juara-Juara, Paris Saint-Germain pada 15 Jun.- AFP