fb fb fb fb fb

Goncalo Ramos ledak hatrik, Portugal layak ke suku akhir

FOTO AFP

DOHA, 7 Disember- Penyerang muda, Goncalo Ramos, 21 tahun berjaya mencetak sejarah peribadi apabila menjaringkan hatrik dalam membantu Portugal untuk layak suku akhir Piala Dunia Qatar 2022.

Ia lebih bermakna apabila perlawanan bertemu Switzerland itu merupakan penampilan sulungnya dalam edisi Piala Dunia.

Ramos diberi kepercayaan untuk mengemudi jentera serangan menggantikan pemenang lima kali Anugerah Ballon d'Or, Cristiano Ronaldo dalam pertemuan pada awal pagi tadi, membenam Switzerland 6-1.

"Tidak pernah terlintas dalam mimpi saya untuk membuat penampilan sulung dalam pusingan kalah mati Piala Dunia dan hasilkan tiga gol.

Bagaimanapun, kami harus fokus untuk perlawanan suku akhir berdepan Maghribi. Keputusan tidak penting. Kami akan berikan yang terbaik," kata Ramos kepada AFP.

Ronaldo akur memanaskan bangku simpanan selepas ketua jurulatihnya, Santos membariskan Ramos dalam kesebelasan utama.


(Goncalo Ramos meraikan gol bersama rakan sepasukan/AFP)

"Sejujurnya, Ronaldo telah melaksanakan tugasnya sebagai kapten dengan baik, membantu pasukan.

Ronaldo sentiasa menjadi model rujukan dan idola saya selain Lewandowski dan Ibrahimovic," tambahnya.

Ramos telah tampil sebanyak empat kali dalam aksi antarabangsa, juga merekodkan 14 gol dalam 21 perlawanan.

Portugal akan berdepan Maghribi pada Sabtu ini, selain Belanda akan bertemu Argentina untuk merebut slot ke saingan separuh akhir Piala Dunia Qatar 2022.-AFP

 

Media Baharu