fb fb fb fb fb

Maghribi kejutkan Sepanyol, mara ke suku akhir Piala Dunia 2022

(FOTO AFP)

DOHA, 7 Disember - Pasukan Maghribi menewaskan Sepanyol menerusi penentuan sepakan penalti untuk mara ke peringkat suku akhir Piala Dunia 2022, di sini sebentar tadi.

Ia merupakan kejayaan buat kali pertama dalam sejarah pasukan Afrika itu selepas perlawanan pusingan 16 terakhir berkesudahan dengan keputusan 0-0.

Maghribi memenangi penentuan sepakan penalti 3-0 selepas tiga pemain Sepanyol iaitu Pablo Sarabia, Carlos Soler dan Sergio Busquets gagal menyempurnakan ketiga-tiga sepakan penalti mereka.

Achraf Hakimi mencipta sensasi untuk Maghribi apabila menyempurnakan sepakan penalti terakhir untuk mengesahkan kemenangan pasukannya.


(Pemain Maghribi, Achraf Hakimi (dua,kanan) meraikan kemenangan pasukannya selepas 
menyempurnakan sepakan penalti terakhir/ AFP)   

Pemenang perlawanan tersebut terpaksa ditentukan dengan penentuan sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan buntu mencipta jaringan selepas berakhir masa tambahan 120 minit.

Anak buah Luis Enrique dilihat lebih menguasai perlawanan di Stadium Education City namun tidak mendapat peluang terbaik untuk diterjemahkan dengan jaringan.

Maghribi memiliki peluang keemasan untuk memenangi perlawanan namun rembatan Walid Cheddira diselamatkan penjaga gol, Unai Simon, sebelum pasukan Afrika itu berdepan beberapa detik cemas pada saat akhir. -AFP

Media Baharu