RAWANG 2 Ogos- Kejohanan Golf Terbuka Amatur Wanita Malaysia edisi ke-39 yang diadakan di Kelab Gof Templer Park, di sini dilihat mampu menyerlahkan bakat muda serantau.
Dianjurkan oleh Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA), kejohanan tahunan berprestij itu menampilkan 89 peserta dari lapan negara ASEAN, serta tujuh negara lain dari rantau Asia Pasifik.
Menurut kenyataan Kementerian Belia dan Sukan, acara itu diadakan bersempena Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, dianjurkan bersama Perbadanan Padang Golf Subang (PPGS).
"Kejohanan ini bertujuan meningkatkan prestasi pemain tempatan dan antarabangsa, dengan penekanan khusus terhadap pembangunan bakat dalam kalangan pemain negara ASEAN.
"Ia juga menyediakan platform untuk pemain muda tempatan dari Malaysia dan rantau ini untuk mendapatkan pendedahan dan pengalaman berharga melalui persaingan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa," menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, kejohanan tersebut turut menggalakkan semangat kesukanan, perpaduan, persefahaman dan nilai-nilai yang menjadi teras kepada kerjasama ASEAN.
Dalam masa sama, menggalakkan kerjasama yang lebih mendalam dalam kalangan pemain golf terutama di peringkat ASEAN, memperkukuh hubungan rakyat dan menyokong diplomasi sukan sebagai alat untuk perpaduan serantau.
Pada kejohanan itu, bintang muda Thailand, Namo Luangnitikul muncul juara keseluruhan selepas mencatat 212 pukulan (72-66-74) manakala naib juara milik Foong Zi Yu dari Malaysia (71-72-73) dengan perbezaan hanya empat pukulan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyampaikan trofi kejuaraan kepada Namo Luangnitikul.