KUALA LUMPUR, 9 September – Tiga pemain profesional utama negara, Ashley Lau, Mirabel Ting dan Kelly Tan bakal mengemudi cabaran Malaysia pada Maybank Championship edisi ketiga yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) pada Oktober ini.
Mereka turut disertai oleh Liyana Durisic dan Genevieve Ling, yang menerima jemputan khas Maybank untuk beraksi dalam kejohanan berprestij bernilai USD3 juta (RM12.63 juta), sekali gus menjadikannya kejohanan golf wanita paling bernilai di rantau ini.
Tumpuan dijangka terarah kepada Mirabel, 19, yang baru sahaja beralih ke gelanggang profesional. Tahun lalu, beliau mencuri perhatian apabila menamatkan saingan di kedudukan T12 meskipun masih bergelar amatur.
Beliau menjadi rakyat Malaysia pertama mengetuai ranking NCAA Division One di Amerika Syarikat, selain mencipta sejarah sebagai pemain Asia-Pasifik pertama meraih Anugerah Annika, pengiktirafan tertinggi dalam golf wanita peringkat kolej.
Ashley, 24, pemain nombor satu negara dan wakil Olimpik Paris, turut dijangka menjadi taruhan utama selepas menamatkan saingan di kedudukan T22 pada edisi lalu.
Sementara itu, Kelly, 31, ikon golf negara yang pernah mewakili Malaysia di dua temasya Olimpik, bakal membawa pengalaman luasnya. Beliau merupakan pemain tetap LPGA Tour sejak 2014 sebelum kehilangan kad keahlian tahun lalu, namun kekal sebagai tonggak penting skuad negara.
Liyana, 24, pula kembali dengan semangat baharu selepas membuat penampilan profesional di Maybank Championship tahun lalu menerusi Kelayakan ASEAN. Beliau kini mengetuai PGM Tour Ladies’ Order of Merit dengan dua kejuaraan, selain berada di kedudukan ketujuh WPGA Tour of Australasia Order of Merit hasil empat penamat 10 terbaik musim ini.
Melengkapkan senarai wakil negara ialah Genevieve Ling, yang tampil dengan keyakinan hasil persembahan meyakinkan di Taiwan LPGA dan WPGA Tour of Australasia musim ini.
