SHAH ALAM, 9 September – Kejayaan dalam arena sukan tidak menghalang atlet sepak takraw negara, Zuhri Muhammad Zain untuk mencipta sejarah peribadi apabila berjaya menamatkan pengajian dengan ijazah kelas pertama dalam bidang Sarjana Muda Pengurusan Sukan (Kepujian) di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Graduan berusia 24 tahun itu yang juga tonggak pasukan Selangor Pistons sejak tahun 2023, mengakui pencapaian akademik tersebut adalah hasil pengorbanan, disiplin dan semangat juang yang sama digilap di gelanggang.
“Bagi saya, kejayaan akademik ini adalah hadiah buat ibu bapa, jurulatih serta rakan sepasukan yang sentiasa memberi sokongan. Ia bukti bahawa atlet juga mampu cemerlang dalam pelajaran, bukan sekadar di lapangan sukan,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen Ke-102 di UiTM Shah Alam, hari ini.
Sepanjang pengajian, Zuhri membahagikan masa antara jadual latihan, pertandingan antarabangsa dan tugasan akademik.
Beliau pernah mewakili negara dalam kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 dan membantu skuad sepak takraw kebangsaan meraih johan.
Dengan pencapaian itu, Zuhri kini berhasrat untuk terus mengimbangi kerjaya sebagai atlet kebangsaan sambil merancang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
