fb fb fb fb fb

Disiplin, semangat juang tinggi kunci kejayaan Harimau Malaya tundukkan Palestin

Pemain Harimau Malaya, Mohd Shahrul Mohd Saad (kiri) menghalang asakan pemain Palestin, Wessam H. M. Abouali (kanan) pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi/ Foto BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 9 September - Tahap disiplin dan semangat juang tinggi menjadi kunci kejayaan skuad Harimau Malaya menundukkan Palestin 1-0, dalam aksi persahabatan antarabangsa, malam tadi.

Kemenangan itu menjadi suntikan moral buat pemain sekali gus memperkukuh keyakinan pasukan negara menghadapi cabaran menentang lawan dengan kedudukan ranking lebih tinggi.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski memuji komitmen ditampilkan anak buahnya semasa sesi latihan dan ketika perlawanan.

"Persiapan para pemain amat membanggakan saya. Kami hanya memiliki tempoh singkat kali ini, satu cabaran berbeza buat pasukan. Namun komitmen mereka di atas padang benar-benar tidak ternilai," kata beliau pada sidang media, di sini malam tadi.

Sementara itu, ketua jurulatih Palestin, Ihab Abu Jazar menolak alasan ketiadaan tonggak utama sebagai punca kekalahan pasukan.

Sebaliknya, beliau mengakui Harimau Malaya memiliki kualiti tersendiri serta berjaya memberikan tentangan sengit kepada skuad bimbingannya.

"Ranking bukan segalanya. Sekiranya skuad Malaysia memiliki barisan pemain seperti ini sejak dahulu lagi, sudah pasti kini kedudukan mereka jauh lebih baik," jelas Ihab.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN