LAS VEGAS, 22 November - Pemandu Mercedes, George Russell, menguasai sesi latihan ketiga dan terakhir Grand Prix Las Vegas, menjelang sesi kelayakan pada Jumaat.
Dalam keadaan litar yang basah dan licin, Russell dari Britain mencatatkan pusingan terbaik pada percubaan terakhir dengan masa satu minit 34.054 saat, menewaskan juara dunia Formula Satu, Max Verstappen (Red Bull) dengan kelebihan 0.227 saat.
Alex Albon dari pasukan Williams muncul ketiga terpantas dengan catatan 1 minit 34.875 saat, diikuti pemandu Racing Bulls dari Perancis, Isack Hadjar, di tempat keempat dan Lewis Hamilton (Ferrari) kelima.
Namun sesi itu kurang menyerlah bagi pendahulu kejuaraan, Lando Norris, dan rakan sepasukan McLaren, Oscar Piastri, yang kelihatan lebih berhati-hati dalam kondisi sukar menjelang sesi kelayakan sebelah malam nanti.
Duo McLaren yang sedang bersaing untuk gelaran dunia itu menamatkan sesi di kedudukan dua tercorot, dengan Norris pendahulu kejuaraan, 3.058 saat di belakang Russell menerusi catatan 1 minit 37.112 saat.
Piastri dari Australia pula berada di tempat ke-19 dengan masa 1 minit 37.023 saat, hanya sedikit lebih pantas daripada Norris.
Norris berusaha mengukuhkan cengkamannya dalam perebutan gelaran musim ini selepas dua kemenangan berturut-turut yang membuka ruang buatnya memburu kejuaraan dunia pertama.
Pelumba Britain itu kini mendahului Piastri dengan 24 mata menjelang perlumbaan di Las Vegas, hasil kebangkitan prestasi yang ketara.
Piastri, yang sebelum ini mendahului 34 mata selepas memenangi Grand Prix Belanda pada 31 Ogos, gagal menaiki podium dalam lima perlumbaan terakhir.
Norris pula mempamerkan konsistensi tepat pada masanya, memenangi perlumbaan dari petak utama di Mexico sebelum mengutip kemenangan sprint dan satu lagi kemenangan perlumbaan dari petak pertama di Sao Paulo.- AFP