TOKYO, 22 November - Langkah pelari jarak sederhana negara, Azlan Kuste terhenti di peringkat separuh akhir acara 800 meter (m) pada Sukan Deaflympics Tokyo 2025 namun berjaya memecahkan rekod kebangsaan dua hari berturut-turut.
Meski terkandas daripada final, ia tidak menjejaskan semangat Azlan untuk mencipta rekod seterusnya. Azlan yang terus mempamerkan aksi konsisten dengan rekod 1 minit 58 saat pada saingan hari ini, memperbaharui rekod baharunya yang dilakukan semalam iaitu 1 minit 59.40 saat.
"Pertama sekali, saya ingin mengucapkan syukur kerana berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir dan berjaya memecahkan rekod baharu sebanyak dua kali, semalam dan hari ini. Dua kali berturut-turut saya memecahkan rekod peribadi serta kebangsaan," katanya.
Turun dalam pelbagai acara pada edisi kali ini, atlet berusia 24 itu berkata persediaan latihan jangka panjang membantunya kekal bertenaga.
"Latihan ini telah dijalankan sejak lama dan badan saya sudah menyesuaikan diri, justeru saya mempunyai kekuatan untuk meneruskan pelbagai acara. Walaupun hari ini tidak berjaya ke peringkat final, saya telah melakukan yang terbaik," katanya.
Mengenai strategi perlumbaan hari ini, Azlan berkata strategi jurulatih membantunya membuat pecutan pada 200m terakhir.
"Untuk 200 meter pertama, saya perlu berlari laju dan menyimpan tenaga untuk digunakan semasa pecutan. Pada 200 meter terakhir, saya berikan sepenuhnya," katanya.
Azlan akan terus menggalas cabaran negara dalam acara 5,000m selepas ini sekali gus meneruskan misi memburu penamat terbaik di Tokyo.