VALLADOLID, 12 September - Pelumba Itali, Filippo Ganna, muncul juara peringkat ke-18 La Vuelta a Espana selepas menguasai acara ujian masa individu (ITT) di Valladolid pada Khamis, manakala Joao Almeida berjaya merapatkan jurang masa dengan pendahulu keseluruhan, Jonas Vingegaard.
Pakar ITT itu, yang mewakili Ineos Grenadiers, menamatkan kayuhan sejauh 12.2 kilometer dengan catatan 13 minit. Ganna mengulangi kejayaannya dua tahun lalu di bandar sama, namun terpaksa menunggu lama sebelum kemenangannya disahkan kerana beliau bermula sebagai pelumba kelima.
Keputusan penganjur memendekkan laluan daripada 27.2km kepada 12.2km dibuat bagi meningkatkan kawalan keselamatan selepas beberapa gangguan oleh penunjuk perasaan pro-Palestin dalam edisi tahun ini.
Pelumba Australia, Jay Vine (UAE Team Emirates-XRG), hampir mencipta kejutan apabila hanya satu saat di belakang Ganna untuk menamatkan saingan di tempat kedua. Rakan sepasukan Vine, Almeida, pula menamatkan perlumbaan tujuh saat kemudian untuk berada di tempat ketiga.
Keputusan itu menyaksikan Almeida kini hanya ketinggalan 40 saat di belakang Vingegaard yang menamatkan saingan di tempat kesembilan.-REUTERS
