MANCHESTER, 12 September - Gianluigi Donnarumma memulakan karier bersama Manchester City pada Khamis selepas berhijrah dari Paris Saint-Germain (PSG) pada hari akhir jendela perpindahan, dengan tekad untuk memburu lebih banyak trofi utama.
City menandatangani penjaga gol utama Itali itu dengan yuran perpindahan sekitar €30 juta (euro) menerusi kontrak lima tahun sehingga Jun 2030.
Donnarumma, 26, yang mengetuai Itali sejak Euro 2024, menggantikan Ederson sebagai penjaga gol utama City selepas pemain Brazil itu berhijrah ke Fenerbahce.
Walaupun menjadi tonggak dalam kejayaan treble bersejarah PSG musim lalu, Donnarumma diketepikan pengurus Luis Enrique sebelum membuat keputusan berpindah ke Liga Perdana Inggeris.
“Saya sangat bangga berada di sini, di salah satu kelab terbaik dunia. Saya tidak sabar untuk bermula di sebuah kelab bersejarah yang mahu menang dan sentiasa memburu kejayaan. Tanggungjawab ini besar, tetapi saya gembira dan berbangga untuk membantu kelab ini terus menang bersama-sama,” katanya.
Donnarumma menegaskan hasratnya untuk mencipta sejarah bersama City dengan menambah koleksi kejuaraan dalam tempoh bersama juara bertahan Liga Perdana itu.-REUTERS
