fb fb fb fb fb

Gagal dapat Lesen Kebangsaan, Kelantan FC tersingkir dari Liga Super musim depan

FOTO FB malaysianfootballleague

KUALA LUMPUR, 2 Januari- KELANTAN FC gagal untuk mendapatkan lesen kebangsaan sekali gus tidak layak untuk bertanding dalam saingan Liga Super musim depan.

Pengerusi badan bebas First Instance Body (FiB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL) FiB yang diadakan secara dalam talian.

Jelas Sheikh Mohd Nasir, Kelantan gagal melengkapkan dua kriteria Kewangan di bawah sub-kriteria F.04 dan sub-kriteria F.11 sebelum tarikh akhir yang ditetapkan masing-masing pada 30 November dan 31 Disember.

Antaranya membabitkan tunggakan KWSP dan PERKESO.

Bagaimanapun, Syeikh Mohd Nasir menjelaskan Kelantan masih ada peluang untuk mengemukakan rayuan kepada Badan Rayuan Pelesenan Kelab MFL sebelum 5 petang, 8 Januari ini.

Skuad The Red Warriors menamatkan saingan liga musim lalu di kedudukan tercorot dengan hanya mampu memungut 8 mata daripada keseluruhan 26 perlawanan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD