fb fb fb fb fb

Gabriel berehat, The Gunners beraksi tanpa tonggak pertahanan tengah

Gabriel Magalhães/ REUTERS

ENGLAND, 22 November - Pertahanan tengah Arsenal, Gabriel Magalhães, dijangka berehat selama beberapa minggu selepas mengalami kecederaan paha ketika menjalani tugasan antarabangsa bersama Brazil, kata pengurus The Gunners Mikel Arteta pada Jumaat (21 November) menjelang aksi Derbi London Utara menentang Tottenham Hotspur, Ahad ini.

Pemain berusia 27 tahun itu menjadi tonggak utama pertahanan Arsenal musim ini, bergandingan mantap bersama pemain Perancis, William Saliba.

Kerjasama kedua-duanya membantu The Gunners hanya bolos lima gol dalam 11 perlawanan Liga Perdana, sekali gus melonjak ke puncak liga dengan kelebihan empat mata mengatasi Manchester City.

Ketiadaan Gabriel merupakan tamparan buat Arsenal, namun Arteta masih mempunyai pilihan lain termasuk dua pemain baharu, Cristhian Mosquera dan Piero Hincapié.

"Gabi malangnya mengalami kecederaan ketika bersama pasukan kebangsaan. Dia akan tersisih beberapa minggu.

"Kami perlu melakukan imbasan susulan pada Rabu depan. Ketika itu barulah kami dapat gambaran lebih jelas mengenai tempoh pemulihannya," kata Arteta.

2211 SKN LNR THE GUNNERS
Mikel Arteta/ REUTERS

Seorang lagi pertahanan, Riccardo Calafiori, masih belum kembali berlatih selepas menarik diri daripada skuad Itali kerana masalah pinggul. Arteta bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kesediaan pemain berusia 23 tahun itu untuk aksi di Stadium Emirates.

Arteta juga tidak mengesahkan sama ada beberapa pemain yang juga sedang pulih termasuk Martin Odegaard, Kai Havertz, Gabriel Martinelli, Noni Madueke dan Gabriel Jesus akan kembali beraksi menentang Spurs.

Dalam pada itu, Arteta memuji pengurus Spurs, Thomas Frank, yang mengambil alih pasukan itu pada Jun lalu selepas pemecatan Ange Postecoglou.

Spurs kini menghuni tangga kelima dengan 18 mata, lapan mata di belakang Arsenal, satu peningkatan ketara berbanding kedudukan ke-17 mereka musim lalu.

Tumpuan perlawanan Ahad ini turut terarah kepada Eberechi Eze, pemain sayap England yang bakal merasai Derbi London Utara pertamanya. Pemain berusia 27 tahun itu menjadi rebutan Arsenal dan Spurs pada jendela perpindahan musim panas sebelum akhirnya memilih meninggalkan Crystal Palace untuk menyertai The Gunners.

Spurs yang terlepas mendapatkan Eze kemudian membawa masuk pemain tengah kreatif Belanda berusia 22 tahun, Xavi Simons, dari RB Leipzig.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI