ROME, 13 Jun-Bekas pengendali AS Roma, Paulo Fonseca kembali ke kancah Serie A apabila dilantik sebagai ketua jurulatih baharu AC Milan, umum kelab berkenaan dalam satu sidang media pada Khamis.
"Ketua jurulatih AC Milan kini adalah Paulo Fonseca",kata bekas penyerang kelab tersebut,Zlatan Ibrahimovic yang mewakili pemilik kelab.
Fonseca 51 tahun sebelum ini bersama dengan kelab Perancis Lille sejak 2022 menandatangani kontrak selama tiga tahun.
Dia menggantikan Stefano Piolli yang dipecat pada penghujung musim ini selepas lima tahun bersama AC Milan.
"Kami mengkaji secara berhati-hati apa yang dilakukan Fonseca, bagaimana dia bersedia bagi sesuatu perlawanan", kata Ibrahimovic yang pernah memenangi dua gelaran ketika bersama AC Milan sebelum mengambil keputusan bersara pada 2023.
Dilahirkan di Nampula, Mozambique pada 1973, Fonseca memulakan karier kejurulatihannya di Portugal dengan membimbing Pacos de Ferreira, Porto dan Braga.
Dia kemudiannya menghabiskan masa selama tiga tahun di Ukraine membimbing Shakhtar Donetsk menyaksikan dia memenangi tujuh trofi kejuaraan dan merekodkan 103 kemenangan dalam 139 perlawanan.
Pada 2019, dia mengambil alih AS Roma dan membawa kelab berkenaan menduduki tangga kelima dan ketujuh Serie A sebelum berkelana ke Lille di Ligue 1 Perancis dan berjaya membimbing kelab berkenaan menduduki tangga kelima dan keempat selain melayakkan diri ke kejohanan Eropah dua tahun berturut-turut.-AFP.