KUALA LUMPUR, 4 Oktober- Fokus pemain sayap lincah, Faisal Halim untuk membawa Terengganu FC (TFC) ke pentas akhir Piala Malaysia dan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tidak terjejas meskipun dia masih berteka-teki mengenai masa depannya bersama gergasi pantai timur berkenaan musim depan.
Faisal mengakui, azamnya ketika ini adalah memastikan TFC layak ke saingan Piala AFC musim depan dan tidak menolak kemungkinan ia menjadi sumbangan terakhirnya andai tidak lagi bersama pasukan tersebut.
Menurutnya, setakat ini lima tawaran telah diterima termasuk daripada pasukan Selangor FC dan juga TFC, yang berminat mendapatkan khidmatnya bagi kempen musim depan.
(Faisal Halim, pemain sayap TFC / Foto BERNAMA)
Sebelum ini, pemain berusia 24 tahun itu meletakkan syarat bahawa dia akan kekal bersama skuad penyu jika khidmat ketua jurulatih, Nafuzi Zain disambung semula.
Syarat itu dibuatnya selepas mengambil kira beberapa faktor, termasuk mengenang jasa pengendali muda tersebut yang telah menaikkan namanya dalam arena bola sepak negara.
Bagaimanapun, sehingga kini pihak pengurusan TFC masih belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara tersebut.