LIVERPOOL, 4 Oktober- Liverpool perlu kembali belajar cara untuk bertahan jika mahu memastikan mereka mendapat semula rentak kemenangan dalam Liga Juara-Juara Eropah.
Pasukan itu perlu bersedia dan mempamer aksi terbaik menjelang aksi Kumpulan A menentang kelab Scotland, Rangers di Anfield awal pagi esok.
Liverpool sebelum ini terkenal dengan corak menekan pemain lawan ketika bertahan yang menyaksikan mereka berjaya memberi saingan dalam semua 4 kejohanan musim lalu.
Namun, kubu pertahanan mereka kini dilihat mudah bocor dan gawang pula sering dirobek dalam hampir setiap perlawanan musim ini.
Keputusan seri 3-3 dengan Brighton, Sabtu lalu turut menyaksikan The Reds jatuh ke tangga ke-9 Liga Perdana Inggeris.
Justeru, Klopp mengakui pasukannya perlu mencari jalan untuk keluar daripada krisis ini, sama seperti ketika mereka kehilangan beberapa pemain pertahanan akibat kecederaan dua musim lalu.
Dalam kempen musim ini, Liverpool hanya menang 3 perlawanan dan pertemuan dengan Rangers esok dilihat sebagai medan terbaik untuk mencari semula prestasi mereka yang hilang.-REUTERS
(FOTO AFP)